Thursday, January 28, 2010

BUDAK SEKOLAH SAMSENG

Empat pelajar serang pelajar sekolah lain di kantin

KUALA LUMPUR 27 Jan. - Hanya kerana salah faham, empat pelajar sekolah menengah bertindak nekad menceroboh sekolah menengah lain di Selayang untuk membelasah seorang pelajar tingkatan lima di kantin sekolah itu hari ini.

Dalam kejadian yang berlaku pada waktu rehat itu, empat pelajar lelaki tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Selayang menceroboh SMK Taman Selayang kerana tidak berpuas hati dengan seorang pelajar sekolah itu.

Ketua Polis Daerah Gombak, ACP Abdul Rahim Abdullah berkata dalam kejadian pada pukul 10.15 pagi itu, mangsa didatangi keempat-empat pelajar terbabit ketika berada di kantin sebelum berlaku pertelingkahan antara mereka.

"Pergaduhan bertambah panas apabila mereka mula membaling kerusi, tong sampah, pasu bunga serta batu dan akibatnya, beberapa pelajar di sekolah itu turut masuk campur serta membaling objek.

"Objek-objek itu terkena dan mencederakan beberapa pelajar yang terlibat dan juga yang menjadi mangsa keadaan sebelum dileraikan oleh guru-guru sekolah berkenaan," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata seramai 20 pelajar yang terlibat dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak untuk diambil keterangan dan kesemua mereka dibebaskan dengan jaminan polis. - BERNAMA

nota: tuan bro.keegan, masa zaman kita sekolah dulu tak seteruk budak zaman sekarang..

kita rugged2 jugak...tapi rugged ada kelas...!!

Saturday, January 16, 2010

gerhana matahari separa

Orang ramai saksi gerhana matahari

KUALA TERENGGANU: Lebih 1,000 orang membanjiri pekarangan Masjid Universiti Darul Iman (UDM) di Gong Badak di sini, semalam menyaksikan fenomena gerhana matahari anulus atau cincin yang disifatkan istimewa kerana tidak pernah berlaku pada Jumaat sebelum ini.

Pensyarah Unit Falak UDM, Dr Baharrudin Zainal, berkata sempena fenomena gerhana matahari itu, masjid UDM turut diimarahkan dengan kehadiran hampir 200 jemaah wanita untuk menunaikan solat Jumaat dan mendengar dua khutbah, iaitu khutbah Jumaat serta khutbah gerhana.

Beliau berkata, fenomena berlangsung kira-kira dua setengah jam itu bermula jam 3.07 petang untuk fasa pertama menyaksikan bulan mula menyentuh dan melitupi matahari, diikuti fasa kemuncak pada jam 4.30 petang apabila bulan melindungi matahari sebanyak 31 peratus, sebelum tamat pada jam 5.43 petang apabila bulan keluar dari matahari.

Sementara itu, di LANGKAWI, kira-kira 1,500 orang berkumpul bagi menyaksikan gerhana matahari separa yang berlaku petang semalam, di tempat letak kereta Kompleks Pekan Rabu, di sini.

Cuaca cerah sejak awal pagi membolehkan orang ramai membuat pencerapan menggunakan enam teleskop berkuasa tinggi yang disediakan Agensi Angkasa Negara (Angkasa) selain melihat imej gerhana pada tiga skrin.

Tinjauan Berita Harian, mendapati orang ramai mula berkumpul di kawasan berkenaan sejak jam 2 petang dan mula bersurai kira-kira jam 5 petang selepas gerhana makin hilang dari alat pencerapan.

Sumber:BH

http://www.angkasa.gov.my/langkawi_observatory/index.php


Thursday, January 14, 2010

makanan sekolah berasrama

Peruntukan makanan sekolah asrama 240 hari

PULAU BANGGI (Kudat): Kementerian Pelajaran akan menambah semula peruntukan makanan bagi sekolah berasrama kepada 240 hari setahun dalam tempoh terdekat selepas mengambil kira kesukaran ibu bapa menyediakan perbelanjaan tambahan anak mereka pulang ke rumah setiap minggu berikutan asrama tidak menyediakan makanan setiap Sabtu dan Ahad.

Timbalan Menterinya, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata kementerian turut mengambil kira pelajar daripada keluarga miskin yang tidak mampu membayar tambang pergi dan balik ke rumah setiap minggu atau menyediakan duit tambahan membeli makanan.

Beliau berkata, aspek keselamatan pelajar yang terpaksa pulang setiap hujung minggu turut diberi pertimbangan kerana mereka biasanya bersendirian, termasuk ke kawasan pedalaman.

"Sehubungan itu, kementerian akan menambah semula peruntukan makanan bagi sekolah berasrama kepada 240 hari berbanding 200 hari setahun yang ditetapkan sebelum ini.

"Pada masa sama, kementerian akan meneruskan peruntukan Rancangan Makanan Tambahan (RMT) untuk membantu murid dalam kelompok Ketua Isirumah Miskin Tegar (KIRMT)," katanya di Jeti Karakit di sini, semalam.

Terdahulu, Mohd Puad melawat tiga sekolah rendah dan sebuah sekolah menengah di Pulau Banggi iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Karakit, SK Batu Layar, SK Look Tohok dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Banggi.

Tiga lagi sekolah di daerah pedalaman di utara Sabah turut dilawati beliau iaitu SMK Kanibongan dan SK Kanibongan, Pitas yang bekongsi bangunan dan SMK Tandek, Kota Marudu.

Mengikut Pekeliling Kementerian Pelajaran tahun lalu, berlaku pengurangan peruntukan makanan daripada 250 hari kepada 200 hari bagi sekolah berasrama dan 250 hari bagi sekolah pendidikan khas berasrama berbanding 270 hari sebelumnya.

Peraturan itu turut merangkumi ibu bapa atau penjaga berpendapatan RM5,000 ke atas yang perlu membayar RM3 sehari, manakala berpendapatan bawah RM4,999 pula RM1 sehari.

Arahan itu membabitkan asrama di sekolah harian, sekolah berasrama penuh (SBP), sekolah teknik dan vokasional, sekolah sukan dan seni.

sumber:BH