Empat pelajar serang pelajar sekolah lain di kantin
KUALA LUMPUR 27 Jan. - Hanya kerana salah faham, empat pelajar sekolah menengah bertindak nekad menceroboh sekolah menengah lain di Selayang untuk membelasah seorang pelajar tingkatan lima di kantin sekolah itu hari ini.
Dalam kejadian yang berlaku pada waktu rehat itu, empat pelajar lelaki tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Selayang menceroboh SMK Taman Selayang kerana tidak berpuas hati dengan seorang pelajar sekolah itu.
Ketua Polis Daerah Gombak, ACP Abdul Rahim Abdullah berkata dalam kejadian pada pukul 10.15 pagi itu, mangsa didatangi keempat-empat pelajar terbabit ketika berada di kantin sebelum berlaku pertelingkahan antara mereka.
"Pergaduhan bertambah panas apabila mereka mula membaling kerusi, tong sampah, pasu bunga serta batu dan akibatnya, beberapa pelajar di sekolah itu turut masuk campur serta membaling objek.
"Objek-objek itu terkena dan mencederakan beberapa pelajar yang terlibat dan juga yang menjadi mangsa keadaan sebelum dileraikan oleh guru-guru sekolah berkenaan," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Beliau berkata seramai 20 pelajar yang terlibat dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak untuk diambil keterangan dan kesemua mereka dibebaskan dengan jaminan polis. - BERNAMA
nota: tuan bro.keegan, masa zaman kita sekolah dulu tak seteruk budak zaman sekarang..
kita rugged2 jugak...tapi rugged ada kelas...!!