Thursday, July 23, 2009

gerhana matahari


GERHANA matahari yang dirakam di Pulau Pinang, semalam.

KANAK-KANAK menyaksikan gerhana matahari menerusi cermin mata khas dan teleskop di pinggir Osaka, Jepun semalam.


GAMBAR gerhana matahari dalam pelbagai peringkat yang dirakam di dua lokasi di Gauhati, India, semalam. - AP

KEADAAN di Shanghai sebelum (atas) dan selepas gerhana penuh.


PERINGKAT pergerakan gerhana matahari dilihat di Guwahati, Assam, India semalam.

Asia saksi gerhana matahari


VARANASI, India 22 Julai - Gerhana matahari paling lama pada abad ke-21 menjerumuskan berjuta-juta penduduk di serata Asia ke dalam kegelapan sementara hari ini, mencetuskan suasana keagamaan, ketakutan dan keseronokan di seluruh India dan China.

Peluang yang datang sekali seumur hidup itu dipercayai menjadi gerhana yang disaksikan paling banyak orang dalam sejarah disebabkan laluannya yang meliputi kawasan paling padat dengan penduduk di muka bumi.

Namun peluang itu dibiarkan berlalu oleh berjuta-juta lagi yang berkurung di dalam rumah kerana mempercayai fenomena tersebut membawa petanda buruk.

Seorang wanita terbunuh dalam kejadian rempuhan di kota suci Hindu, Varanasi di mana puluhan ribu penganut agama itu berhimpun di tebing Sungai Gangga sejak subuh lagi.

Polis berkata, wanita berusia 80 tahun itu pitam semasa pengunjung berasak-asak untuk memasuki sebuah kuil dekat tebing sungai tersebut, kemudian meninggal dunia akibat sesak nafas.

Kejadian itu mencetuskan panik yang turut menyebabkan lebih 20 orang lain cedera.

Gerhana matahari penuh selalunya berlaku setiap 18 bulan tetapi gerhana hari ini istimewa kerana tempoh kegelapan 'menyeluruh' yang maksimum selama enam minit dan 39 saat apabila matahari dilindungi seluruhnya oleh bulan.

Tempoh gerhana penuh selama itu hanya akan berulang pada 2132.

Stesen rasmi China Central Television membuat liputan secara langsung tentang peristiwa yang dipaparkannya sebagai 'Gerhana Matahari Sungai Yangtze' kerana laluan fenomena itu meliputi lembangan saliran sungai tersebut.

Berjuta-juta penduduk di beberapa kawasan di barat daya China berpeluang menyaksikan fenomena itu dengan jelas, tetapi pemandangan di sebahagian besar laluannya terjejas disebabkan awan mendung.

Penduduk di Shanghai tidak mempedulikan hujan dan cuaca mendung untuk menyaksikan gerhana itu apabila kegelapan mula menyelubungi pusat perdagangan China tersebut pada 9.36 pagi (waktu sama di Malaysia).

"Sekarang waktu kerja, tetapi kami tidak mahu melepaskan peluang untuk menyaksikan pemandangan yang begitu menakjubkan. Pengalaman ini sungguh menyeronokkan," kata seorang pekerja di Shanghai, Allen Chen yang keluar ke jalan raya untuk menyaksikan peristiwa itu.

Mereka yang mampu membeli tiket mahal untuk menaiki pesawat sewa khas yang disediakan oleh agensi pelancongan untuk membawa mereka menyaksikan gerhana tersebut bagi tempoh yang lebih lama dengan mengejar bayangnya menghala ke timur.

Bayang atau umbra yang dihasilkan oleh gerhana penuh itu mula kelihatan di negeri Gujarat, barat India sejurus sebelum 6.30 pagi ini (9 pagi waktu Malaysia.

Ia kemudian merentasi India dan meliputi kawasan di antara Bangladesh dan Nepal sebelum menyelubungi sebahagian besar Bhutan, merentasi tanah besar China dan menghala ke laut dekat Shanghai.

Dari sana ia bergerak merentasi pulau-pulau dekat selatan Jepun sebelum membelok ke barat Pasifik. - AFP

Berjuta penduduk diselubungi ketakutan, sembunyi dalam rumah

TAREGNA (INDIA): Gerhana matahari paling lama pada abad ke-21 semalam menyebabkan sebahagian besar benua Asia bertukar gelap gelita selepas fajar ketika berjuta penduduk keluar untuk menyaksikan fenomena sekali seumur hidup itu.

Seorang wanita terbunuh dalam satu kejadian rempuhan di sungai Ganges di India, di mana penganut Hindu berkumpul untuk menyaksikan fenomena itu.

Berjuta yang lain, diselubungi ketakutan, menyembunyikan diri mereka di dalam rumah.
Awan tebal yang menyelubungi India mengaburi matahari ketika gerhana bermula selepas waktu fajar. Namun beberapa minit kemudian awan beredar dan beberapa bandar di India dapat menyaksikan gerhana penuh yang berlaku jam 6.24 pagi waktu tempatan, sebelum bergerak ke Nepal, Myanmar, Bangladesh, Bhutan dan China.

Gerhana berlaku apabila bulan bergerak di antara matahari dan bumi, melindungi sang suria sebahagian atau sepenuhnya sehingga menyebabkan kegelapan di bumi. Fenomena gerhana penuh walaupun bukan sesuatu yang jarang berlaku, namun kejadian semalam dijangka adalah paling lama dalam abad ini iaitu sehingga enam minit 39 saat.

Di Beijing yang dijangka dapat melihat gerhana sepenuhnya, kabus tebal berwarna kelabu pada pagi mengecewakan penduduk yang bangun pagi untuk menyaksikan fenomena berkenaan.

Pemerhati di Shanghai juga kecewa apabila hujan gerimis pada sebelah pagi. Namun apabila langit siang hari mula bertukar gelap seperti malam selama kira-kira lima minit, pemerhati menjadi teruja semula.

"Walaupun hujan turun, saya tidak mahu suasana muram. Saya mahu menikmati hari yang istimewa ini," katanya.

Di Bangladesh, penduduk turut bersuka ria.

"Ia adalah saat yang jarang berlaku, saya tidak pernah terfikir untuk melihatnya dalam hidup saya," kata Abdullah Sayeed, seorang pelajar kolej yang berkunjung ke bandar Panchagarh dari ibu kota Dhaka untuk menyaksikannya.

Katanya kereta di bandar itu memerlukan lampu ketika "siang bertukar malam secara tiba-tiba." Orang ramai berpelukan antara satu sama lain dan sesetengahnya meniup wisel apabila gerhana bermula, katanya.

Gerhana penuh matahari semalam hanya dapat dilihat di Asia dan adalah fenomena paling lama sejak 11 Julai 1991, apabila gerhana penuh berlaku selama enam minit 53 saat dapat dilihat dari Hawaii ke Amerika Selatan. Tiada lagi gerhana penuh yang lama berbanding semalam sehingga 2132. – AP
Gerhana matahari separa dapat disaksi di utara




GERHANA matahari yang dirakam di Pulau Pinang, semalam.

KUALA LUMPUR: Ramai rakyat Malaysia terutamanya di kawasan utara Semenanjung tidak melepaskan peluang menyaksikan fenomena gerhana matahari separa yang bermula jam 8.23 hingga 9.48 pagi, semalam.

Walaupun hanya dapat melihat gerhana matahari separa secara minimum namun orang ramai termasuk pelajar sekolah tetap mahu melihat keunikan fenomena berkenaan.

Ada yang melayari beberapa laman web yang membuat siaran langsung secara webcasting seperti www.exploratorium.edu/eclipse/2009/index.html, www.live-eclipse.org dan www.eclipse-tv.com.
Kejadian gerhana matahari separa itu terbentuk berikutan berlakunya fenomena gerhana matahari penuh, yang juga gerhana matahari terpanjang di abad ini iaitu selama enam minit 39 saat.

Bagaimanapun, penduduk Malaysia hanya dapat melihat 17.8 peratus saja kawasan permukaan matahari ditutupi oleh bulan ketika gerhana separa berlaku.

Pada abad ini, penduduk Malaysia akan dapat menikmati gerhana matahari separa pada 15 Januari 2010, 9 Mac 2016 dan 26 Disember 2019.
Selain Malaysia, antara negara Asia lain yang dapat menyaksikan gerhana itu termasuk India, Nepal, Bangladesh, Bhutan, Myanmar dan China.

No comments:

Post a Comment