Showing posts with label gergasi merah. Show all posts
Showing posts with label gergasi merah. Show all posts

Sunday, August 2, 2009

Piala Selangor 2009

>BARISAN Selangor bergembira selepas berjaya menjuarai Piala Selangor dengan menewaskan Persib Bandung 2-0 di Stadium Shah Alam hasil jaringan pemain undangan dari Indonesia, Bambang Pamungkas. - UTUSAN/Saharuddin Abdullah

SHAH ALAM - Pesta kejayaan Selangor selepas memenangi tiga piala Liga Malaysia berterusan dengan satu lagi kejuaraan, Piala Selangor 2009 setelah mengalahkan kelab Indonesia, Persib Bandung 2-0 di Stadium Shah Alam malam tadi.

Sekalipun tiada kaitan dengan Liga Malaysia, Gergasi Merah tetap megah menjulang kejuaraan edisi sulung itu di depan 50,000 penonton sekali gus membawa pulang ganjaran RM30,000 selaku juara.

Namun, agak menghampakan pesta itu diukir oleh dua jaringan pemain Indonesia, Bambang Pamungkas yang diundang mewakili semula Merah Kuning yang ditinggalkannya pada penghujung musim 2006.

Sebaik wisel dimulakan, Selangor hampir membuka tirai jaringan seawal minit pertama tetapi percubaan Bambang berjaya dihalang pertahanan Persib Bandung, Nova Arianto.

Persib melakukan percubaan pertama pada minit kelima. Namun, sepakan penyerang import dari Uruguay, Christian Alfaro Gonzales terus ke dakapan penjaga gol Selangor, Hamsani Ahmad.

Pada minit ke-28, Hamsani bertindak cemerlang apabila berjaya menepis keluar bola sepakan lambung berbahaya Maman Abdulrahman dari luar kotak penalti.

Selangor turut memperolehi peluang pada minit ke-41 tetapi percubaan R. Surendren hasil lorongan Elie sedikit sipi dari gawang Persib yang dikawal ketua pasukannya, Cecep Supriyatna.

Pada minit ke-44, berlaku keadaan kelam kabut di dalam kotak penalti Selangor dan percubaan terakhir oleh Siswanto sekadar tinggi melepasi gawang tatkala Hamsani sudah pun terkeluar dari posisinya.

Ketika masa kecederaan separuh masa pertama, rembatan cantik Safee Sali dari luar kotak penalti pula hanya sedikit melepasi palang gol Persib untuk kedua-dua pasukan masuk ke bilik persalinan tanpa sebarang gol.

Tiada pertukaran dilakukan kedua-dua jurulatih, K. Devan bagi Selangor dan Robbie Darwis bagi Persib apabila mereka memulakan saingan babak kedua.

Gol pertama Selangor akhirnya terhasil pada minit ke-56 menerusi jaringan Bambang selepas pemain Persija Jakarta itu pantas menolak masuk bola lorongan Safee dari sebelah kiri untuk menewaskan Cecep di gawang Persib.

Hanya empat minit selepas itu, Selangor memperolehi gol kedua juga menerusi jaringan Bambang yang menyempurnakan bola lorongan Elie hasil satu serangan balas pantas selepas sepakan sudut Persib.

Pada minit ke-66, Selangor hampir menambah gol ketiga tetapi sepakan cantik Elie yang kini beraksi untuk PSMS Medan berjaya pula ditepis keluar oleh Cecep.

Piala disampaikan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

Sunday, July 26, 2009

selangor johan liga super

PEMAIN-pemain Selangor meraikan kejayaan memenangi trofi Liga Super selepas menutup saingan dengan membelasah Pahang 5-1 di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Habuan menanti pemain

Oleh SAYED HESHAM IDRIS
hesham.idris@utusan.com.my


SHAH ALAM - Habuan lumayan bakal menanti juara baru Liga Super, Selangor selepas melengkapkan kempen 2009 dengan membelasah Pahang 5-1 pada perlawanan terakhir liga di Stadium Shah Alam, semalam.

Khabar gembira itu diumumkan Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim yang bagaimanapun berkata, jumlah habuan yang bakal dinikmati pemain-pemain Merah Kuning itu hanya akan diumumkan pada 31 Julai ini.

Kemenangan besar ke atas Pahang melengkapkan musim cemerlang skuad bimbingan K. Devan yang mengharungi 26 perlawanan dengan mencatat 20 kemenangan, tiga seri dan tiga kalah.

Malah, bertambah manis lagi buat Selangor apabila kaptennya, Amri Yahyah pula diumumkan sebagai Pemain Terbaik perlawanan semalam.

Selangor menjulang trofi yang tidak pernah dimenangi sejurus tamat perlawanan yang disampaikan oleh Khalid.

Hadir sama Timbalan Presiden FAM, Datuk Ridzuan Tan Sri Sheikh Ahmad dan Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad.

Sebaliknya, keputusan itu menyebabkan Pahang tersingkir ke Liga Perdana musim depan apabila menamatkan saingan di tempat kedua tercorot dengan 17 mata.

Bagaimanapun, nasib skuad bimbingan Dollah Salleh itu dan pasukan tercorot, Polis bergantung pada struktur baru liga musim depan yang akan dibincangan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) minggu depan.

Amri, yang masih segar dengan sejarah menjaringkan dua gol pada perlawanan dengan Manchester United minggu lalu merupakan wira Selangor dengan menjaringkan dua gol.

Begitupun, sebelum pesta gol bermula, tuan rumah dikejutkan dengan gol awal Pahang menerusi tandukan Muhammad Badrul Hisani, yang memperdayakan penjaga gol Selangor Mohd. Nasril Nourdin pada minit ke-13.

Selangor bagaimanapun hanya memerlukan empat minit kemudian untuk menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti Safee Sali selepas selepas R. Surendran dijatuhkan oleh Mohd. Rosfaizul.

Amri melebarkan kedudukan 2-1 menerusi gaya kegemarannya yang penuh helah, melambung bola melepasi penjaga gol Pahang, Mohd. Rosfaizul Azuar Ali pada minit ke-43.

Penyerang kebangsaan itu membuktikan dia adalah pemain paling bernilai ketika ini apabila menyumbat gol peribadi kedua pada minit ke-64.

Safee turut menjaringkan gol keduanya pada minit ke-68 untuk kedudukan 4-1, sebelum Surendran pula menutup pesta gol Selangor menerusi jaringan kelima pada minit ke-69.

Monday, April 27, 2009

KESIAN ABE AWE..cuba lagi tahun depan..!!!


Kelantan gagal penuhi impian
Oleh Mohd Fadzrie Hazis
fadzrie@bharian.com.my

PEMAIN dan pegawai Selangor meraikan kejayaan mereka muncul juara Piala FA selepas menewaskan Kelantan menerusi penentuan penalti 4-1 di Bukit Jalil, malam tadi. - Foto Khalid Redza


Selangor muncul juara Piala FA menerusi penentuan penalti 4-1

SELANGOR menggunakan pengalaman beraksi di pentas saingan besar untuk menuai satu lagi hasil besar apabila menjulang Piala FA buat kali kelima selepas menewaskan Kelantan 4-1 menerusi penentuan sepakan penalti di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam tadi.

Apapun, anak didik K Devan jelas tidak memenangi mudah ketika lawan bergelar The Red Warriors itu - yang membuat penampilan pertama di final sejak 1970 - memberi saingan sengit sehingga ke minit terakhir permainan masa tambahan sebelum Merah Kuning dapat mengesahkan pingat kejuaraan.

Dengan Kelantan menampakkan gemuruh, berikutan penampilan pertama dalam final piala domestik selepas kemarau 39 tahun, skuad Merah Kuning mengambil kesempatan dengan melancarkan beberapa siri serangan ke pintu gol dengan habuannya adalah tiga sepakan sudut dalam empat minit pertama.

Ancaman Selangor berterusan selepas itu dengan Safee Sali melakukan lambungan tepat di luar kotak penalti lawan pada minit kelima, namun penjaga gol, Shahrizan Ismail bertindak cemerlang menafikan percubaan itu.

Selepas mengekang ancaman bahaya bertali arus itu, Kelantan menemui rentak dengan percubaan pertama hadir menerusi Ezrie Shafizie Sazali minit ke-21 yang melakukan rembatan dari jarak 25 meter dan hanya sedikit melepasi palang gol.

Disuntik keyakinan, The Red Warriors nyaris berada di depan, namun rembatan Indra Putra Mahayuddin dari jarak 30 meter terkena palang gol Selangor.

Selepas rehat, Kelantan memiliki peluang awal di babak kedua, apabila sepakan percuma kapten pasukan, Badhri Radzi minit ke-48 tepat ke jangkauan Mohd Rizal Fahmi, tetapi tandukannya melepasi gol lawan.

Peluang terbaik Selangor hadir menerusi sepakan voli Rudie Ramli minit ke-67, namun Shahrizan sekali lagi bertindak cemerlang mendakap kemas percubaan itu.

Pasukan bimbingan Peter Butler itu terus menghadirkan ancaman menerusi percubaan tepat Ahmad Ezrie Shafizie (minit ke-73) dan Mohd Norfarhan Mohammad (minit ke-82), tetapi penjaga gol Selangor, Hamsani Ahmad bertindak cemerlang menyelamatkan keadaan buat mengheret perlawanan ke masa tambahan.