Sangat memalukan - Nik Aziz
Oleh WAN ZULKIFLI WAN YAACOB
utusankelantan@utusan.com.my
PENYOKONG Kelantan bertindak liar dengan menterbalikkan trak polis sebelum membakarnya kerana tidak berpuas hati dengan kekalahan 1-0 pasukan mereka kepada Negeri Sembilan dalam perlawanan separuh akhir pertama Piala FA di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu. Malah, 10 buah kereta lain turut menjadi mangsa samseng bola sepak ini hingga memaksa pihak polis melepaskan gas pemedih mata untuk meleraikan kekecohan. – UTUSAN/ROSNI MASRI
________________________________________
KOTA BHARU 8 April - Sangat memalukan!
Itu reaksi Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berhubung perilaku penyokong Kelantan yang merusuh selepas perlawanan bola sepak Piala FA di Stadium Sultan Muhammed IV di sini malam tadi.
Katanya, insiden terburuk dan mencemarkan bola sepak negara itu tidak sepatutnya berlaku di negeri ini.
Beliau berkata, Kelantan terkenal dengan gelaran-gelaran yang 'baik-baik' termasuk 'bumi tadahan wahyu' - namun kejadian semalam memberikan gambaran sebaliknya.
''Saya sangat dukacita dengan apa yang berlaku dan mudah-mudahan ia tidak lagi berulang dan biarlah ini yang terakhir," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di Kota Darulnaim di sini hari ini.
Dalam kejadian malam tadi, penyokong Kelantan menunjukkan emosi yang tidak terkawal, bertindak agresif lalu merusuh dengan membakar sebuah kenderaan polis serta merosakkan beberapa buah kenderaan lain di pekarangan stadium sejurus perlawanan berakhir.
Polis akhirnya bertindak melepaskan gas pemedih mata untuk menyurai kumpulan yang perusuh berhampiran pintu masuk stadium itu.
Dalam perlawanan separuh akhir pertama Piala FA itu, Negeri Sembilan menewaskan Kelantan 1-0 - kekalahan kedua tuan rumah dalam tempoh seminggu kepada pasukan yang sama, terdahulu dalam saingan Liga Super.
Kata beliau, sukan selalunya dikait dengan semangat kesukanan yang tinggi, namun penyokong Kelantan seolah-olah tidak langsung menunjukkan semangat sebegitu.
Nik Abdul Aziz berkata, amat malang apabila pihak polis yang ditugaskan menjaga keamanan dalam suasana perlawanan menjadi sasaran para perusuh.
''Saya sangat dukacita. Ini memalukan kita, polis mengawal keselamatan permainan bola sepak, jadi polis perlu bertindak tegas,'' ujarnya.
No comments:
Post a Comment