Sidang DUN Perak kecoh-UM
Perasmian Sidang Dewan Undangan Negeri Perak Ke-12 tertangguh kira-kira lima jam akibat kekecohan yang berlaku antara penyokong kerajaan dan pembangkang. Dr. Zambry Abd. Kadir cuba mententeramkan keadaan di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh semalam. – HANAFI KHAMIS
________________________________________
IPOH 7 Mei – Kecoh dan menghina institusi diraja. Begitulah suasana sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) yang berlangsung hari ini. Majlis perasmian yang sepatutnya berlangsung kira-kira pukul 10 pagi tertunda ke pukul 3.15 petang.
Hanya selepas kira-kira lima jam drama keangkuhan dan kedegilan barisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang ‘ditayangkan’, barulah majlis pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua DUN Perak Ke-12 berjaya disempurnakan.
Itu pun selepas Pemangku Raja Perak, Raja Dr. Nazrin Shah dan Raja Puan Besar, Tuanku Zara Salim yang tiba kira-kira pukul 9.30 pagi terpaksa menunggu di kamar diraja kira-kira lima jam.
Sedangkan sebelum itu, baginda telah pun memeriksa barisan kawalan kehormat dan sepatutnya merasmikan majlis pembukaan selepas itu.
Peliknya, selepas menimbulkan kekecohan sehingga berlaku adegan tolak-menolak, pergelutan kecil dan hamburan kata-kata kesat, ADUN pakatan pembangkang akhirnya sanggup pula untuk akur.
Kesemuanya itu didorong oleh sikap angkuh, degil dan tindakan mempermainkan kemuliaan Dewan sehingga mewujudkan suasana tegang dan menuntut Raja Dr. Nazrin supaya ‘menunggu’.
Dengan diketuai bekas Speaker, V. Sivakumar, Aturan Mesyuarat yang sepatutnya membantu melancarkan perjalanan sidang DUN diketepikan.
Malah, pakatan pembangkang seolah-olah lupa diri dan tidak menerima hakikat bahawa mereka bukan lagi suara majoriti.
Sebaik berakhirnya upacara membaca doa, Sivakumar bertegas tidak mahu memulakan sidang DUN selagi Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dan enam Exconya berada di dalam Dewan.
Beliau turut mengarahkan tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bebas iaitu Hee Yit Foong (Jelapang), Mohd. Osman Jailu (Changkat Jering) dan Jamaluddin Mohd. Radzi (Behrang) meninggalkan Dewan dengan segera.
Beliau juga mengumumkan tempat duduk ADUN adalah berdasarkan status quo seperti sebelum ini.
‘‘Saya tak mahu ketujuh-tujuh orang (Zambry dan enam ahli Exco) yang digantung berada dalam Dewan. Keputusan ini dibuat oleh Jawatankuasa Hak dan Kebebasan yang telah diterima pada 3 Mac lalu, bukan saya.
‘‘Saya juga arah ketiga-tiga orang yang saya anggap telah meletak jawatan keluar daripada Dewan. Saya hendak 10 orang ini (tujuh ADUN BN dan tiga ADUN Bebas) keluar Dewan dulu baru mulakan sidang,” katanya sebaik mengambil tempat duduk Speaker dalam DUN di sini hari ini.
Bagaimanapun, Zambry dan sembilan lagi ADUN terbabit tidak mempedulikan arahan Sivakumar.
Kekecohan berlarutan sehingga ada ketikanya hampir bertumbuk apabila kedua-dua pihak cuba menegakkan pendapat masing-masing.
Dalam suasana kelam kabut itu, Zambry membuat usul memecat Sivakumar sebagai Speaker dan Timbalan Speaker, Yit Foong mengumumkan mengambil alih tugas menggantikan Sivakumar.
Bagaimanapun Sivakumar menegaskan, usul itu tidak boleh diterima daripada seseorang yang telah digantung keahliannya sebagai ADUN.
Keputusan menggantung 10 ADUN tersebut daripada menghadiri sidang DUN dibuat oleh Sivakumar menerusi Jawatankuasa Hak dan Kebebasan yang bersidang di bawah pokok pada 3 Mac lalu.
Zambry kemudian mengulangi usul yang sama dan sekali lagi disokong oleh semua ADUN Barisan Nasional (BN) dan tiga ADUN Bebas.
Sebaik sahaja usul pelantikan Speaker baru diluluskan oleh penyokong BN, Yit Foong mengisytiharkan R. Ganesan sebagai Speaker baru sebelum dipakaikan jubah oleh Zambry.
Selepas mengangkat sumpah jawatan di bahagian tempat duduk ADUN BN, bekas ADUN Sungkai itu mengambil alih sidang Dewan daripada Yit Foong.
Empat usul telah diluluskan oleh Ganesan iaitu pelantikan ahli baru bagi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negeri, Jawatankuasa Perintah-Perintah Tetap dan Jawatankuasa Hak dan Kebebasan.
Turut diluluskan ialah usul membatalkan sidang DUN Perak di bawah pokok pada 3 Mac lalu.
Sivakumar yang sejak awal mempertikaikan kedudukan Ganesan kemudian menegaskan beliau menolak kesemua usul tersebut.
Memandangkan situasi yang semakin tegang, Zambry mengusulkan supaya sidang Dewan ditangguhkan selama sejam bermula pukul 11.15 pagi.
Walaupun ditangguhkan, Sivakumar tetap tidak berganjak daripada tempat duduk Speaker sejak pukul 9.45 pagi.
Sidang Dewan sekali lagi ditangguhkan pada pukul 1 petang. Ketika ini Sivakumar masih juga berada di tempatnya.
Keadaan agak terkawal apabila polis mula memasuki Dewan dan mengarahkan Sivakumar bangun daripada kerusi Speaker yang didudukinya.
Kedegilannya menyebabkan polis dan beberapa petugas Dewan terpaksa ‘mengangkat’ serta mengusung beliau ke luar.
Walaupun bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin dan ADUN pembangkang masih lagi mempertikaikan tindakan terhadap Sivakumar, namun kehadiran Raja Dr. Nazrin berjaya menenangkan keadaan.
Selepas baginda berjumpa dengan Mohammad Nizar dan ADUN Sitiawan, Datuk Ngeh Koo Ham, pembangkang dilihat mula mematuhi peraturan Dewan.
Sidang DUN kelam-kabut-BH
• Raja Nazrin tunggu lima jam rasmi persidangan
• Ganesan dilantik Speaker ganti Sivakumar
IPOH: Mesyuarat pertama penggal kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, semalam kecoh lebih lima jam dan terpaksa ditangguhkan dua kali sebelum majlis perasmian dapat disempurnakan oleh Pemangku Raja Perak, Raja Dr Nazrin Shah.
Kekecohan bermula sebaik saja Raja Nazrin selesai memeriksa kawalan kehormatan dan menuju ke Kamar Diraja, apabila bekas Speaker, V Sivakumar dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) pembangkang bergegas memasuki Dewan terlebih dulu serta menukar tempat duduk ke sebelah kanan Speaker, yang ditetapkan untuk pihak kerajaan. Mereka juga mengalihkan kertas tanda nama ke sebelah kanan serta mengoyak dan membuang tanda nama Adun Barisan Nasional (BN). Adun pembangkang, yang diketuai Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin kemudian duduk di kerusi Menteri Besar dan Exco, manakala Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir serta Exconya terpaksa duduk di tempat pembangkang.
Keadaan bertambah kecoh apabila Sivakumar mengarahkan Zambry serta enam Ahli Exco negeri dan tiga Adun Bebas, keluar Dewan dengan alasan keanggotaan mereka masih digantung. Beliau turut berkeras tidak akan memulakan sidang selagi 10 Adun terbabit tidak meninggalkan Dewan tetapi tidak diendahkan Zambry dan Adun berkenaan.
Zambry kemudian berdiri dan membuat usul untuk memecat Sivakumar selaku Speaker, disokong oleh 27 Adun BN serta tiga ahli Bebas dengan cara mengangkat tangan tetapi ditolak oleh Sivakumar dengan alasan Zambry tidak boleh mengemukakan usul kerana telah digantung.
Sepanjang kekecohan itu, Raja Nazrin yang dijadual merasmikan sidang pada jam 10 pagi, terpaksa menunggu dalam Kamar Diraja.
Persidangan semalam adalah yang pertama sejak Barisan Nasional (BN) mengambil alih kerajaan negeri Februari lalu dan Zambry dilantik sebagai Menteri Besar.
Kekecohan semakin tidak terkawal apabila ahli Dewan saling mencemuh antara satu sama lain. Zambry kemudian mengulangi membuat usul yang sama dengan disokong oleh Adun BN dan tiga ahli Bebas.
Sivakumar bagaimanapun tidak berganjak dan mengarahkan Bentara Dewan membawa keluar 10 Adun itu, tetapi Zambry menegaskan Sivakumar telah dipecat.
Kira-kira jam 10.48 pagi, Timbalan Speaker, Hee Yit Foong (Bebas-Jelapang) mengambilalih sidang daripada tempat duduk Adun, manakala Sivakumar terus duduk di kerusi Speaker.
Zambry kemudian mengemukakan usul melantik bekas Adun Sungkai, Datuk R Ganesan sebagai Speaker yang baru dan disokong oleh semua Adun BN serta ahli Bebas.
Selepas usul pelantikan Speaker baru diluluskan, Hee menjemput Ganesan memasuki Dewan dan dipakaikan jubah Speaker oleh Dr Zambry. Ganesan kemudian mengangkat sumpah jawatan di bahagian tempat duduk ahli Dewan dan mengambilalih tugas daripada Hee.
Ketika itu, Adun Pakatan Rakyat hanya memerhati sambil membuat bising tetapi Ganesan meneruskan sidang tanpa menghiraukan gangguan pembangkang.
Beliau menerima empat usul pelantikan ahli jawatankuasa yang baru, iaitu Jawatankuasa Perintah Tetap, Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN, Jawatankuasa Kira-kira Wang Negeri (PAC) serta usul tidak mengiktiraf 'Sidang DUN Bawah Pokok' pada 3 Mac lalu.
Semua usul dibentang oleh Datuk Hamidah Osman (BN-Sungai Rapat) dan disokong oleh Datuk Shaarani Mohammad (BN-Kota Tampan) serta diluluskan tanpa bahas oleh Adun BN dan Bebas dengan cara mengangkat tangan.
Ketika Ganesan mengumumkan usul pertama diluluskan, Adun Pakatan Rakyat dan Sivakumar menjerit mengatakan 'haram'.
Keadaan tenang seketika apabila Ganesan mengumumkan penangguhan sidang selama sejam bermula 11.15 pagi.
Selepas sesi bermula pada jam 12.20 tengah hari, Sivakumar yang tidak bergerak dari tempat duduk Speaker, mengarahkan Ganesan keluar dari Dewan hingga mencetuskan semula pertikaman lidah antara Adun BN dan Pakatan Rakyat.
Beberapa Adun pembangkang turut mengelilingi Ganesan bagi mendesaknya keluar Dewan dan berlaku tolak-menolak sehingga memaksa Speaker baru itu mengumumkan sidang ditangguhkan selama sejam lagi bermula jam 1 petang.
Semua Adun mematuhi arahan itu dan keluar makan tengah hari, tetapi Sivakumar masih terus tidak bergerak dari kerusi Speaker. Apabila persidangan disambung semula kira-kira jam 2 petang, kekecohan sekali lagi tercetus apabila beberapa Adun pembangkang cuba menarik keluar Ganesan secara kasar.
Berikutan itu, polis terpaksa campur tangan pada jam 2.20 petang kerana keadaan menjadi tidak terkawal dan bertambah agresif dengan ada insiden tolak-menolak dan pergaduhan di kalangan Adun.
Bentara juga dikasari sebanyak tiga kali oleh Adun pembangkang sehingga cedera di kaki ketika beliau cuba mengosongkan kerusi Speaker yang masih diduduki Sivakumar.
Kekecohan itu berakhir pada jam 2.40 petang apabila Sivakumar diiring keluar oleh anggota polis sebelum Raja Nazrin yang menunggu lebih lima jam dalam Kamar Diraja, memasuki Dewan bagi merasmikan sidang itu.
Baginda menyampaikan titah ucapan perasmian kira-kira setengah jam bermula 3.15 petang dan sebelum berangkat pulang, Raja Nazrin berkenan berbual mesra dan bersalaman dengan semua Adun.
Persidangan Dewan ditangguhkan ke satu tarikh yang ditetapkan kemudian.
Ralat dalam Saman Dewan Bandaraya Kuala Lumpur
8 years ago
No comments:
Post a Comment