4 pelajar samun ditahan
GOMBAK: Tindakan empat pelajar sebuah sekolah menengah di Selayang menyamun seorang lelaki Pakistan di Jalan Sungai Tua berhampiran simpang masuk ke Taman Jasa di sini mengundang padah apabila mereka yang berpakaian seragam sekolah dicekup polis, pagi kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi itu, dua anggota peronda dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak terserempak kumpulan terbabit sedang memukul mangsa.
Bagaimanapun, mereka cuba melarikan diri apabila menyedari kehadiran polis.
Ketua Polis Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah berkata, polis yang mendapati suspek cuba melarikan diri kemudian mengejar mereka sebelum menahan seorang daripada kumpulan itu selepas terjatuh dari motosikalnya.
“Susulan penahanan suspek pertama, polis mengesan identiti dan lokasi persembunyian tiga lagi rakannya dan menahan mereka kira-kira tiga jam kemudian dan menemui semula pelbagai barangan peribadi mangsa termasuk telefon bimbit, wang tunai dan salinan pasport,” katanya ketika ditemui, semalam.
Katanya, siasatan awal mendapati semua suspek berusia 17 tahun itu masih menuntut di sebuah sekolah menengah di Jalan Sungai Tua di sini dan penahanan mereka sudah dimaklumkan kepada ibu bapa masing-masing.
Difahamkan, ketika kejadian, mangsa yang berusia lingkungan 30-an dalam perjalanan ke tempat kerjanya sebelum dihampiri kumpulan pelajar terbabit sebelum memukul dan melarikan barangan peribadi miliknya. Berikutan itu, mangsa dikatakan cedera di kepala dan beberapa bahagian badan.
Abdul Rahim turut mengesahkan sudah menerima laporan polis dibuat mangsa berhubung kejadian itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan.
No comments:
Post a Comment