Natrah (kiri) bersama Rokayah ketika melawat keluarga angkatnya pada tahun 1997 di Kampung Mak Chili Paya, Kemaman, Terengganu.
Natrah digendong oleh ibu angkatnya, Che Aminah Mohamed. Gambar ini diambil sekitar tahun 50-an.
natrah bersama suaminya mansor adabi pada 1950
Natrah meninggal dunia di Belanda
KUALA LUMPUR – Bertha Hertogh atau Natrah, nama Islamnya pada satu ketika, dilaporkan meninggal dunia di kediamannya di Huijbergen, Belanda semalam.
Menurut Duta Malaysia di Belanda, Dr. Fauziah Mohd. Taib menerusi e-mel kepada Bernama semalam, Natrah meninggal akibat leukemia pada usia 72 tahun.
Natrah menjadi isu di Singapura pada 1950 akibat perebutan terhadapnya antara ibu angkatnya, Che Aminah dengan keluarga asal beliau yang berketurunan Belanda.
Natrah ketika itu berumur 13 tahun dan telah memeluk Islam dan bernikah gantung dengan seorang guru berusia 22 tahun bernama Mansor Adabi.
Namun undang-undang British/Belanda tidak membenarkan wanita di bawah umur 18 tahun daripada berkahwin dan Natrah akhirnya diperintahkan supaya dipulangkan kepada ibu bapa kandungnya di Belanda.
Keputusan mahkamah itu menimbulkan kemarahan masyarakat Islam di Singapura sehingga berlaku rusuhan yang dikenali sebagai Rusuhan Natrah.
Dilaporkan seramai 18 orang terbunuh dan kira-kira 200 orang cedera dalam tragedi itu ketika mereka bertempur dengan tentera dan polis British, sehingga Singapura diletakkan di bawah perintah berkurung selama dua hari dua malam.
Dr. Fauziah berkata, Natrah akhirnya pulang ke Belanda, namun hati dan perasaannya masih melekat di Malaya ketika itu.
Natrah yang menggunakan nama Bertha pernah kembali ke rantau ini pada 1999 untuk penggambaran filem dokumentari mengenai dirinya oleh sebuah syarikat televisyen Belanda.
“Menurut Bertha, beliau hanya merasa bahagia ketika zaman kanak-kanaknya,” kata Dr. Fauziah.
Sebuah filem mengenai Bertha arahan Ben Sombogaart dilaporkan akan dikeluarkan tahun depan. – BERNAMA
Wanita hidap leukemia pernah jadi mangsa konflik agama pada 1950 LONDON: Natrah Maarof atau Bertha Hertogh, wanita yang menjadi pertikaian antara bapanya yang berbangsa Belanda dengan ibu angkatnya dari Malaysia, meninggal dunia akibat leukemia semalam di rumahnya di Huijberhen, di selatan Belanda, pada usia 72 tahun.
Menurut anak bongsunya, Silvija Wolkenfelt, 38, Natrah tidak akan dikebumikan kerana permintaan terakhirnya untuk menderma mayatnya bagi tujuan penyelidikan di Hospital Rotterdam.
Menerusi perbualan telefon, Silvija berkata, "Sepanjang umurnya dia melakukan apa yang orang lain mahu dan ini ialah pilihannya sendiri, amat penting bagi kita menghormati permintaan terakhirnya."
Menurut kenyataan akhbar, Natrah menjadi berita utama akhbar seluruh dunia dalam 1950 apabila dia menjadi punca pergelutan antara bapanya dengan ibu angkatnya di Malaysia.
Natrah atau nama sebenarnya Maria Bertha Hertogh ialah anak Adeline Hunter dan Adrianus Petrus Hertogh yang ditawan tentera Jepun 1942 di Indonesia.
Oleh kerana semangat anti-Barat begitu kuat di Indonesia, Natrah diserahkan kepada Aminah Mohamad dari Terengganu yang ketika itu berada di Indonesia. Ini dilakukan tanpa pengetahuan bapanya. Natrah dibesarkan sebagai seorang Islam.
Natrah ialah nama yang diberi Aminah. Selepas perang 1945, Hertogh dibebaskan dan berusaha mencari Natrah. Selepas ditemui, Aminah membawa Natrah ke Singapura untuk bertemu dengan bapanya dan kemudian dimasukkan ke Girls Homecraft Centre di York Hill.
Aminah membuat rayuan mahkamah dan berjaya mendapat Natrah semula. Dia kemudian dikahwinkan dengan Mansor Adabi pada usia 13 tahun.
Bagaimanapun pada 12 Disember 1950, mahkamah mengarahkan supaya Natrah dikembalikan kepada bapanya dan pulang ke Belanda. Inilah punca rusuhan Natrah di Singapura yang menyebabkan 18 orang maut dan beratus-ratus lagi cedera. Dengan keputusan mahkamah ini, dikhuatiri Natrah akan dimurtadkan.
Selepas dipaksa pulang ke Belanda, Natrah memulakan hidup baru dan hanya pulang ke Malaysia pada 1999 buat pertama kali untuk merakamkan sebuah dokumentari mengenai hidupnya oleh televisyen Belanda.
Natrah berkata, zaman kanak-kanak satu-satunya masa dia betul-betul bahagia.
Bagi kebanyakan orang, dia masih ikon perjuangan melawan imperialisma British dan satu contoh akan apa perbezaan agama boleh akibatkan.
Sebuah filem berjudul Natrah kini sedang diusahakan di Singapura, Malaysia dan Belanda. Filem ini adalah dari sudut pandangan Natrah mengenai kejadian yang mengakibatkan rusuhan dan bagaimana dia menjadi mangsa konflik agama dan kolonialism.
Filem ini diarah oleh Ben Sombogaart yang dikenali menerusi filem seperti Twin Sisters dan Bride Flight yang dijangka ditayangkan pada 2010.
Menurut Duta Besar Malaysia ke Belanda, Datuk Dr Fauziah Mohd Taib, yang bertemu Natrah di majlis hari jadinya yang ke 72, 24 Mac lalu, Natrah kelihatan sungguh gembira.
"Majlis hari jadinya bertemakan Malaysia dan Indonesia. Semua orang memakai baju Melayu. Dia begitu seronok bercakap mengenai masa dia membesar di Malaysia," kata Fauziah. BH
Natrah 'hidup' dalam sejarah Melayu
Oleh Hazirah Che Sab
zeehan@nstp.com.my
NAMA Natrah kedengaran kembali selepas tidak disebut langsung sejak kali terakhir kedatangannya ke Malaysia, 10 tahun lalu. Namun kali ini beritanya diiringi khabar yang menyentuh hati sesiapa saja yang pernah menelusuri kisah suka duka wanita Belanda ini menerusi penulisan Datin Fatini Yaacob, bekas wartawan Dewan Masyarakat pada lewat 1980-an - Natrah sudah meninggal dunia.
Generasi hari ini mungkin tertanya-tanya siapa Natrah? Apa istimewanya wanita ini sehingga berita kematiannya mendapat liputan meluas media tempatan, kelmarin.
"Beliau sememangnya istimewa kerana Natrah akan terus hidup dalam sejarah Melayu dan Islam. Isunya sentiasa relevan dan menjadi penanda aras kepada undang-undang Islam," kata Fatini ketika ditemui di kediamannya di Shah Alam, baru-baru ini.
Natrah Maarof atau nama asalnya Maria Bertha Hertogh mati akibat leukemia di rumahnya di Huijberhen, selatan Belanda pada usia 72 tahun.
'Hebatnya' Natrah kerana kesan kehadirannya yang menjadi pertikaian antara bapanya yang berbangsa Belanda dengan ibu angkatnya dari Malaysia, sehingga mencetuskan rusuhan pada 1950 di Singapura yang menyebabkan 18 maut dan beratus-ratus lagi cedera selepas mahkamah memerintahkan beliau dikembalikan kepada ibu bapa kandungnya.
Kematiannya membangkitkan kepentingan memperbetulkan laporan mengenai Natrah oleh media Barat yang memutar belitkan fakta.
"Perspektif yang salah mengenai Natrah dan ceritanya perlu diperbetulkan. Laporan media Barat menggambarkan seolah-olah orang Islam begitu agresif dan tidak menghormati keputusan mahkamah mengembalikan Natrah yang beragama Islam ke pangkuan ibu bapanya yang menganut Kristian sehingga tercetusnya rusuhan yang menyebabkan kematian.
"Namun cerita sebenar di sebalik rusuhan itu tidak pernah dilaporkan. Tiada satu laporan menyatakan rusuhan pada 1950 itu akibat kemarahan orang Melayu kerana akhbar Straits Times ketika itu berulang kali menyiarkan gambar Natrah melutut di depan patung Virgin Mary.
"Orang Melayu ketika itu menghormati keputusan mahkamah dan menerima hakikat kehilangan Natrah tetapi kemarahan mereka memuncak dengan penyiaran gambar itu. Ada pihak sengaja berbuat demikian dan media Barat mengambil kesempatan menjadikan laporan rusuhan itu untuk menunjukkan keburukan orang Timur.
"Bagaimana pula penerimaan penganut Kristian jika seorang kanak-kanak Kristian dipakaikan telekung dan dipaksa bersolat? Itulah yang dirasakan umat Islam yang melihat gambar itu," katanya.
Natrah anak Adeline Hunter dan Adrianus Petrus Hertogh, yang ditawan tentera Jepun pada 1942 di Indonesia.
Oleh kerana semangat anti-Barat begitu kuat di Indonesia, Natrah diserahkan ibunya kepada Che Aminah Mohamad dari Terengganu yang ketika itu berada di Indonesia tanpa pengetahuan bapanya. Che Aminah menukar nama Bertha kepada Natrah dan memeliharanya seperti anak sendiri serta diberi didikan Islam.
Selepas perang 1945, Hertogh dibebaskan dan berusaha mencari Natrah. Selepas ditemui, Che Aminah diperdaya membawa Natrah ke Singapura untuk bertemu bapanya, tanpa menyedari muslihat Hertogh untuk mengambil kembali anaknya itu.
Tindakan Hertogh mendorong Che Aminah memfailkan rayuan di mahkamah dan berjaya mendapat Natrah semula. Beliau kemudian dikahwinkan dengan Mansor Adabi pada usia 13 tahun.
Bagaimanapun, pada 12 Disember 1950, mahkamah mengarahkan supaya Natrah diserahkan kepada bapanya dan pulang ke Belanda. Keputusan itulah yang menjadi titik tolak kepada penderitaan dan kesengsaraan ditanggung Natrah sehingga mati.
"Natrah menderita kerana beliau tidak belajar memaafkan masa lalu. Terus terang, rasanya saya lebih mengenali Natrah daripada beliau mengenali diri sendiri. Jika boleh, saya ingin membawa Natrah ke dunia lain, keluar daripada ketakutannya dan beri pemahaman kepadanya mengenai takdir.
"Beliau tidak tahu menguruskan penderitaannya. Pegawai British yang bertugas di pusat kebajikan sosial ketika Natrah diletakkan di situ sementara menunggu keputusan mahkamah, pernah menulis dalam bukunya pada 1977 bahawa Natrah akan menderita sepanjang hidup kerana paksaan yang dikenakan ke atasnya.
"Ramalan itu menjadi kenyataan 20 tahun kemudian. Penderitaan dan ketakutan yang selama ini menyelubungi hidupnya dibawa sehingga mati," kata Fatini.
Sepanjang empat bulan menyelidik kisah berdarah itu, Fatini berkata, antara episod paling menyentuh hatinya ialah kesucian cinta antara Natrah dan suami yang tidak pernah berkesempatan menyentuhnya, Mansur Adabi, biarpun Natrah isterinya yang sah.
"Cinta mereka sejati. Cinta pertama yang dibawa mati. Bayangkan mereka cuma bernikah gantung dan belum lagi melakukan hubungan suami isteri. Biarpun dipisahkan tetapi cinta mereka tidak pernah mati.
"Air mata Natrah bergenang apabila saya menyebut mengenai Mansor ketika pertemuan kami. Cuma cinta mereka mustahil dijelmakan dalam bentuk untuk dapat bersatu semula sebagai suami isteri.
"Apabila televisyen Belanda menyiarkan dokumentari mengenai Mansor yang hidup senang dan bahagia dengan isteri baru, Natrah mengamuk. Beliau begitu tertekan sehingga ke tahap cuba membunuh suaminya," katanya.
Dihimpit kesengsaraan dipisahkan daripada ibu angkat dan suami dikasihi, Natrah mencari kebahagiaan dengan mengumpul wang. Namun itu juga tidak membahagiakannya.
"Saya berharap generasi muda mengambil iktibar daripada peristiwa itu. Kita perlu faham undang-undang sivil dan syariah dalam hak kekeluargaan kerana ketidakfahaman undang-undang menyebabkan Natrah terlepas daripada tangan orang Islam.
"Golongan muda juga perlu tahu isu itu meletakkan Malaya ketika itu dalam peta dunia, tarikh itu dimuatkan dalam muka depan akhbar seluruh dunia kerana ada pertembungan agama, budaya dan ia diperbesar-besarkan," katanya.
Kalaulah Natrah tahu...
Kisah budak perempuan bernama Natrah yang dibela sebuah keluarga Melayu tetapi direbut bapanya, seorang Belanda, menggemparkan Tanah Melayu. Selepas 59 tahun, peristiwa murtad itu terus diperkatakan.
PEMERGIAN Bertha Hertogh, atau nama Islamnya, Natrah, 72, pada 9 Julai lalu, disifatkan bekas penulis dan penyelidik untuk majalah Dewan Masyarakat, Datin Fatini Yaacob, 50, sebagai satu pengakhiran kepada penderitaan wanita malang itu.
Fatini pernah menjejak Natrah sehingga ke Belanda dan Amerika Syarikat (AS) kira-kira 20 tahun lalu untuk merungkai kisah pencetus Rusuhan Natrah yang berlaku di Singapura pada 1950 itu.
Natrah, yang dilahirkan pada 24 Mac 1937, menjadi rebutan antara ibu angkatnya, Che Aminah Mohamad, dengan keluarga kandungnya yang berasal dari Belanda.
Sebelum itu, Natrah ditinggalkan ibunya, Adeline Hunter, di bawah jagaan Che Aminah ketika berumur lima tahun di Jawa setelah bapanya, Sarjan Adrianus Petrus Hertogh, ditawan tentera Jepun. Sepanjang berada di bawah jagaan Che Aminah, Natrah dididik dengan agama Islam dan adat Melayu.
Setelah berpindah ke Singapura, Hertogh menuntut Natrah dikembalikan kepadanya.
Pada mulanya Che Aminah memenangi hak penjagaan ke atas Natrah. Namun tindakannya menjodohkan Natrah dengan Mansor Adabi, seorang guru berusia 22 tahun, mengeruhkan keadaan kerana Natrah baru berumur 13 tahun.
Undang-undang Belanda menetapkan remaja di bawah 16 tahun tidak boleh dinikahkan dan pernikahan itu berlangsung di Singapura yang mengamalkan undang-undang British.
Akhirnya, pernikahan itu dibatalkan dan Natrah dibawa pulang ke Belanda. Ketika di Belanda, Natrah dimurtadkan, sekali gus mencetus kemarahan warga Singapura dan Tanah Melayu. Akibatnya, sebanyak 18 nyawa diragut dan 200 lagi tercedera berikutan Rusuhan Natrah yang berlaku pada 12 Disember 1950.
Khamis lalu, Natrah dilaporkan meninggal dunia di Huijbergen, Belanda selepas lama menderita penyakit leukemia.
"Mengikut kajian dan pemerhatian saya sehingga hari dia meninggal dunia, Natrah tidak pernah mahu melupakan bekas suaminya, arwah Mansor Adabi, ibu angkatnya, Che Aminah Mohamed, keluarga angkatnya yang kini berada di Kemaman, Terengganu, dan kehidupannya di Singapura," kata Fatini yang kini merupakan Karyawan Tamu di Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
Malah, ujar beliau, hidup Natrah sejak dibawa ke Belanda yang dipenuhi dengan paksaan menyebabkan trauma yang berpanjangan.
"Hidupnya ketika itu dikelilingi polis setiap masa. Dia juga dipaksa untuk melakukan banyak perkara di luar keinginannya termasuklah melupakan Mansor, Che Aminah, keluarga angkat dan segala amalan yang berkaitan dengan Islam.
"Sedangkan semasa di bawah jagaan Che Aminah, hubungan Natrah dengan ibu angkatnya itu cukup mesra dan penuh kasih sayang.
"Perkara ini diakui seorang pegawai Inggeris yang ditugaskan untuk menjaga Natrah ketika diletakkan di Jabatan Kebajikan Masyarakat di Singapura, Tom Eames Hughes, yang kemudiannya menulis kisah itu dalam bukunya bertajuk Tangled Worlds: The Story of Maria Hertogh (1980)," kongsinya.
Natrah cuba bunuh suami
Menjelaskan kenyataan itu dengan merujuk rentetan kejadian cubaan Natrah membunuh suami kedua sehingga mengakibatkan perceraian, cubaan membunuh diri dan kekerapan ibu kepada 10 orang anak itu dimasukkan ke wad sakit jiwa, Fatini menambah, ia turut dilihat dengan jelas olehnya ketika menemu ramah Natrah di AS pada tahun 1989.
"Setiap kali menyebut nama Mansor Adabi, air matanya bergenang. Malah, bahasa tubuhnya juga berubah. Padahal waktu itu dia sudah berumur 52 tahun.
"Semasa temu ramah pula dia berbahasa Inggeris sepanjang masa. Tetapi ada juga dia tersasul menyebut 'cabai kerawit'. Jadi sebenarnya dia masih ingat bahasa Melayu," kenang Fatini yang turut mengingatkan bahawa teman lelaki terakhir Natrah ialah seorang warga Indonesia.
Menggambarkan perwatakan Natrah sebagai seorang yang lemah lembut, Fatini bagaimanapun mengakui sukar untuk sesiapa pun membaca kesengsaraan itu pada wajahnya.
"Dia bijak menyembunyikan perasaannya. Malah hubungannya dengan anak-anak amat baik," katanya.
Ketika berita Natrah meninggal dunia sampai kepadanya, Fatini masih dalam proses melengkapkan buku biografi wanita malang itu.
"Kematian Natrah menimbulkan rasa terkilan dalam diri saya kerana banyak lagi yang saya ingin lakukan untuknya.
"Selain melengkapkan biografi ini, saya berharap benar agar dapat membantu Natrah mengubah persepsinya terhadap banyak perkara.
"Kalaulah Natrah tahu arwah Mansor hanya berhenti berusaha mendapatkannya semula setelah menerima surat yang kononnya dikirimkan Natrah. Dalam surat itu, Natrah memberitahu Mansor tentang dia sudah memeluk agama Katolik dan meminta Mansor melupakannya...
"Kalaulah Natrah tahu ada seorang lelaki bernama JC Vermeulen yang selama ini berusaha untuk menghubungkannya semula dengan Mansor melalui surat-surat yang dihantar 'mereka'...
"Natrah juga berasa bertanggungjawab ke atas kematian yang berlaku dalam rusuhan itu sehingga menyangka ada orang mahu membunuhnya selama ini," ujar anak kelahiran Perlis ini.
Menyentuh tentang rusuhan yang berlaku, Fatini berpendapat ia berpunca daripada tindakan media tempatan Singapura yang bertindak melanggar sensitiviti agama Islam.
"Ia berpunca daripada provokasi media tempatan Singapura yang berkali-kali memaparkan gambar Natrah berlutut di depan patung Virgin Mary. Perkara itu menyentuh sensitiviti agama," luahnya.
TINGGAL KENANGAN. (Dari kiri): Peguam Ahmad Ibrahim, Natrah, Che Aminah, suaminya, Mansor Adabi dan bapa angkat Mansor, M.A Majid.
6 comments:
Rindu keluarga angkat
KEMAMAN 10 Julai - Bertha Hertogh atau nama Islamnya, Natrah sentiasa merindui keluarga angkatnya di sini malah meminta mereka menziarahinya di Belanda ketika dia sakit teruk akibat leukemia sehingga membawa kepada kematian.
Menurut saudara angkat Natrah, Rokayah Mohd. Dahan, 63, Natrah sering meluahkan perasaannya itu menerusi e-mel atau telefon semasa berhubung dengan adiknya di Kemaman dan juga anaknya yang tinggal di Kuantan.
"Saya mendapat berita kematiannya menerusi telefon pukul 8 malam tadi daripada anak saya, Mohd. Akram Abdul Aziz yang bekerja di Kuantan.
"Ketika itu saya terkejut dan sangat sedih kerana dia pergi jua menghadap Tuhan, memang banyak kenangan saya dengan dia semasa di sini," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Mak Chili Paya dekat sini hari ini.
Rokayah merupakan cucu kepada ibu angkat Natrah, Che Aminah Mohamed.
Menurutnya, kenangan yang dia tidak lupa apabila Allahyarham masih petah bercakap bahasa Melayu loghat Indonesia sewaktu datang ke Kemaman pada 1997 walaupun sesudah 46 tahun meninggalkan Malaysia.
Malah jelasnya, Natrah amat gemarkan makanan tradisional Melayu iaitu ketupat palas.
"Pada tahun 1997, dia balik ke Kemaman bersama suami warga Indonesia sambil diiringi dua wartawan Belanda.
"Ketika itu Natrah tinggal di Kemaman tiga malam, satu malam tidur di rumah saya. Masa itulah kami sempat berkongsi kenangan dengannya," ujarnya.
Natrah meninggal dunia di kediamannya di Huijbergen, Belanda kelmarin pada usia 72 tahun akibat leukemia.
Beliau menjadi isu di Singapura pada 1950 akibat perebutan terhadapnya antara ibu angkatnya, Che Aminah dengan keluarga asalnya dari Belanda. Sumber UM
Fatini terkilan tidak sempat temui Natrah
SHAH ALAM 10 Julai - Bekas wartawan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datin Fatini Yaacob yang pernah membuat penyelidikan dan menulis kisah hidup Natrah atau Maria Bertha Hertogh, 72, terkilan kerana tidak sempat menemui wanita itu buat kali terakhir.
Fatini, 50, yang pernah menemubual Bertha di Nevada, Amerika Syarikat pada Januari, 1989 lalu berkata, beliau merancang terbang ke Belanda menemui wanita itu sebelum Ramadan untuk melengkapkan buku biografinya yang dijadualkan terbit pada penghujung tahun ini.
''Tetapi sayang dia telah meninggal dunia dan pemergiannya pada saya adalah sebuah pengakhiran kepada penderitaan yang dialaminya selama ini," kata beliau yang ditemui pemberita di rumahnya di Seksyen 7 di sini petang ini.
Penulis itu yang pernah menyentuh hati pembaca dengan tulisan kisah cinta dan penderitaan Natrah bersama orang-orang yang pernah hadir dalam hidupnya termasuk bekas suaminya, Mansor Adabi yang disiarkan dalam Dewan Masyarakat keluaran Februari hingga Mei 1989 bagaimanapun tetap akan ke Belanda untuk menziarahi keluarga Bertha seperti yang dirancang.
Fatini yang kini menjadi Karyawan Tamu Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berkata, beliau juga akan menyiapkan buku biografi serta berhasrat menerbitkan kisah Natrah dalam pelbagai versi termasuk dalam bentuk dokumentari drama dan filem.
''Tujuan saya ialah untuk memperbetulkan persepsi Barat terhadap Timur tentang isu Natrah yang pernah menimbulkan kontroversi sehingga mencetuskan rusuhan di Singapura pada tahun 1950 dan sehingga kini masih menjadi rujukan sekiranya isu berkaitan dibincangkan.
''Bagi saya ini adalah tanggungjawab yang perlu saya lunaskan kerana saya telah membuat penyelidikan mengenai kisah Natrah ini terlalu mendalam sehingga merasakan telah amat memahami penderitaan yang ditanggung wanita itu akibat hidup dalam paksaan dalam serba serbi," ujarnya lagi.
Walaupun tidak pernah bersua muka dengan Bertha sejak tahun 1989, Fatini tetap mengikuti perkembangan wanita itu dan tahu dia pernah datang ke Kemaman, Terengganu pada Hari Raya Aidilfitri tahun 1997.
Ceritanya, ketika itu Bertha melawat Kamariah yang juga merupakan anak angkat keturunan Jepun, Che Aminah Mohamed, ibu angkat Natrah dan dia juga sempat ke Kuala Lumpur, Johor Bahru dan Singapura.
''Saya tahu dia datang tetapi oleh kerana fobia Bertha terhadap apa yang berlaku semasa beliau dipaksa berpisah dengan suami dan keluarga angkat, dia tidak memberitahu saya.
''Saya kesal kerana tidak dapat memperbetulkan persepsi Bertha itu tetapi berharap kedatangannya ke sini dapat memberi gambaran tentang perubahan yang berlaku di Malaysia," katanya.
Ditanya apa yang paling tidak dapat dilupakan beliau sepanjang menulis kisah Natrah, Fatini berkata, pertemuannya dengan Mansor, bekas suami Natrah kerana sehari selepas lelaki itu menyerahkan empat fail berisi surat dan catitan perjuangannya untuk mendapatkan kembali isterinya ketika itu dia meninggal dunia. Sumber UM
Kesan isu Natrah terhadap gejala murtad
Oleh Fatini Yaacob
SETELAH menulis di ruangan ini sejak dua minggu lalu, ada kalangan generasi muda bertanya saya, mengapa masih menulis tentang Natrah? Apakah masih ada yang tertinggal tentang Natrah sejak 20 tahun lalu?
Saya tergelak besar… saya menjawab barangkali ada, kerana dulu saya tenggelam dalam begitu banyak fakta tentang Natrah dan turut kabur dalam menganalisis fakta tentang isu-isu sekitar Natrah. Kini setelah 20 tahun berlalu saya semakin memahami isu Natrah dan kaitannya dengan orang Melayu.
Walaupun sekarang saya menulis hal ini namun saya berasa seolah-olah keseorangan padahal ini bukan isu saya secara peribadi. Ini adalah isu umat Melayu, isu kelemahan kita sekarang ini sebagai penganut Islam. Para sejarawan atau sesiapa sahaja yang prihatin sepatutnya mendahului saya membentangkan isu ini ataupun ikut memberi pandangan tentang penegasan baru yang saya bawa ini.
Bagi saya, walaupun Natrah telah meninggal, namanya akan tetap hidup selagi ada orang Melayu, selagi ada Islam. Tragedi rusuhan Natrah adalah lambang kehebatan kekuatan iman umat Melayu paling ramai dalam sejarah moden. Kelompok yang merusuh semasa itu dianggarkan menjangkau 3,000 orang. Orang Melayu datang sejauh Kelantan dan Perlis, untuk menunjukkan kekuatan penyatuan mereka kepada penjajah. Malah sebahagian mereka datang dengan berbasikal!
Bagi saya isu Natrah dan relevansinya kepada umat Islam akan tetap hidup zaman berzaman sekurang-kurang berasaskan tiga faktor utama ini:
Pertama: Pengorbanan nyawa yang begitu banyak walaupun Natrah hanyalah seorang budak kecil - 18 orang meninggal, 173 cedera dan beratus dipenjarakan. Di seluruh dunia rusuhan di Singapura tahun 1950 itu, dirujuk sebagai kes yang terpaksa dihormati kerana pengorbanan nyawa demi maruah dan harga diri, walaupun ada kalangan tempatan terutama orang-orang Melayu yang pro penjajah yang menyanggah erti pengorbanan ini.
Kedua: Isu murtad adalah isu yang relevan setiap masa. Pengorbanan orang Melayu kerana tidak sanggup Natrah dimurtadkan membuktikan kekuatan roh tauhid orang Melayu ketika itu. Pengorbanan jiwa yang tercerna dari kekuatan mengimani Allah ini akan tetap diangkat menjadi contoh setiap masa.
Kini setelah 59 tahun tragedi Natrah, adakah orang yang menangis seperti Natrah kerana tidak mahu dimurtadkan? Alangkah sayangnya pengorbanan orang Melayu dan tangisan Natrah, kerana setelah 59 tahun berlalu, perkara sebaliknya yang berlaku. Begitu ramai gadis-gadis Melayu yang menangis-nangis kerana berperang dengan keluarga untuk murtad!
Ketiga: Kes perbicaraannya di mahkamah menjadi teks wajib kuliah undang-undang Islam dan undang-undang perbandingan sivil dan Islam di universiti tempatan. Bagi sesiapa yang mengambil jurusan syariah atau undang-undang pasti terpaksa menghazami butir-butir pahit perbicaraan yang terpaksa dilalui oleh Natrah.
Berita lanjut, sila rujuk edisi cetakan Mingguan Malaysia atau langgani e-Paper di http://ebrowse.bluehyppo.com/utusan/index.asp
atau
natrahfatini.blogspot.com.
Tak dinafikan bangsa Melayu ini hebat pada sejarahnya tetapi sayangnya bangsa ini terlalu kuat bertoleransi dengan bangsa luar. Harap anak melayu jangan mudah lupa dengan pengorbanan nenek moyang kita untuk mempertahankan maruah agama Islam..kini anak Melayu berbaris nak murtad tinggalkan Islam.
Kesilapannya pada org kita juga sebab suka sangat bagi muka kat orang luar....
PERTAHANKAN AQIDAH ISLAM KITA
Post a Comment