Friday, July 10, 2009

Salah tafsir institusi raja perlu diperbetul


Salah tafsir institusi raja perlu diperbetul

Oleh Wan Jailani Razak
wanjai@bharian.com.my

Sultan Selangor YB tak hormati sistem

SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah anggapan sesetengah pihak raja sekadar lambang istiadat dan upacara rasmi semata-mata tanpa sebarang kuasa adalah satu tafsiran yang salah dan perlu diperbetulkan segera.

Titah baginda, sistem raja berpelembagaan dan berparlimen juga meletakkan raja sebagai satu institusi penting dalam Parlimen dan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) sesebuah negeri.
"Cabang institusi raja dalam DUN khususnya bukan sekadar berperanan merasmikan pembukaan dewan semata-mata tetapi merangkumi aspek rang undang-undang secara terperinci sebelum meluluskan sesuatu rang undang-undang yang dibahaskan.

"Justeru, beta mengingatkan semua pihak supaya menghormati dan akur dengan sistem yang menjadi amalan negara sejak sekian lama, yang memartabatkan institusi raja sebagai pelindung kepada setiap lapisan masyarakat di negara ini," titah baginda pada Majlis Santapan Sempena Sambutan 50 Tahun Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini, malam kelmarin.

Hadir sama, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Speaker DNS, Teng Chang Khim.

Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah saranan itu adalah berikutan beberapa kejadian buruk sejak kebelakangan ini yang memperlihatkan ada kalangan ahli Yang Berhormat (YB) menunjukkan sikap kurang sopan dan tidak beradab kepada institusi raja dan kemuliaan DUN.

Titah baginda, YB dipilih oleh rakyat kerana mereka percaya YB mempunyai kredibiliti yang tinggi, tingkah laku dan budi bahasa yang baik tetapi apabila bersikap biadab seolah-olah seperti orang kurang berpelajaran serta mengeluarkan kata-kata kesat, ia mencerminkan betapa rendahnya moral YB.

No comments: