Friday, August 7, 2009

Wasiat Raja Melayu

7 wasiat raja Melayu

Oleh FAIZAH IZZANI ZAKARIA
pengarang@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 6 Ogos - Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah hari ini mengingatkan rakyat khususnya orang Melayu mengenai tujuh wasiat raja-raja Melayu yang menjanjikan kesejahteraan, kedamaian dan keamanan jika mereka bersatu dan berpegang teguh kepadanya.

Wasiat yang disampaikan semasa raja-raja Melayu menurunkan tandatangan persetujuan pembentukan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu pada 5 Ogos 1957 itu ialah:

Kami namakan dan kami panggil akan dia, bumi yang kamu pijak dan langit yang kamu junjung Persekutuan Tanah Melayu (sekarang dikenali dengan nama Malaysia).
Kami isytiharkan dan kami simpan untuk kamu dan kami benarkan kamu isytihar dan simpan untuk anak cucu kamu, selain gunung-ganang, tasik dan hutan simpan, Tanah simpanan Melayu sehingga nisbah 50 peratus, selebihnya kamu rebutlah bersama-sama kaum lain.
Bagi menjaga kamu dan bagi melindungi anak cucu kami serta harta milik kamu, kami tubuhkan Rejiman Askar Melayu selain untuk membanteras kekacauan dalam negara dan ancaman dari luar negara.
Kami kekalkan dan kami jamin kerajaan dan kedaulatan raja-raja Melayu memerintah negara ini.
Kami isytiharkan Islam adalah agama Persekutuan.
Kami tetapkan bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu.
Kami amanahkan dan kami pertanggungjawabkan kepada raja-raja Melayu untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan kepentingan sah kaum-kaum lain (kemudian ditambah kedudukan istimewa anak negeri Sabah dan Sarawak).

Baginda bertitah demikian pada majlis pelancaran buku Allahyarham Prof Syed Hussein Alatas berjudul Mitos Pribumi Malas, Keintelektualan Masyarakat Membangun dan Rasuah: Sifat, Sebab dan Fungsi di sini, semalam.
Hadir sama Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Johan Jaafar dan Ketua Pengarah DBP, Datuk Termuzi Abdul Aziz.

Raja Nazrin bertitah, wasiat sembilan Raja Melayu dari empat negeri Melayu Bersekutu dan lima tidak Bersekutu itu, disampaikan sebelum merdeka kepada rakyat Melayu, yang juga rakyat asal dan subjek Raja-Raja Melayu.

"Wasiat ini dihasilkan atas kehendak Raja-Raja Melayu untuk mengekalkan kesinambungan sejarah, kedaulatan dan kuasa politik Melayu (yang terletak pada Raja-Raja Melayu) kepada kesinambungan kedaulatan negara kepada Raja-Raja Melayu serta mendapat penerimaan rakyat melalui wakil sah yang mempunyai locus standi, maka Perlembagaan Persekutuan mempunyai fasal tertentu," titah Raja Nazrin Shah.

Titahnya, fasal-fasal terbabit ialah Perkara 3 (1) (2) (3) dan (5); Perkara 11, Perkara 12; Perkara 38 (5); Perkara 152; Perkara 153 dan Perkara 181 (1), yang memerlukan izin Majlis Raja-Raja Melayu untuk sebarang pindaan.

"Sempena ulang tahun kemerdekaan negara ke-52 pada 31 Ogos ini, sewajarlah fakta-fakta utama dalam perjalanan menuju kemerdekaan itu dipastikan tidak terpendam dari sejarah," titahnya.

Raja Nazrin turut menyarankan supaya Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melaksanakan usaha menerbitkan semula tulisan yang dihasilkan di zaman pra dan pasca merdeka bagi memastikan generasi muda tidak buta sejarah serta asal-usul bangsa.

Baginda bertitah, selain berperanan memberi pemahaman terhadap generasi muda mengenai pembinaan negara bangsa, langkah menerbitkan hasil karya lama juga akan memastikan khazanah negara itu tidak lenyap ditelan zaman.

"Beta mendengar Allahyarham Ishak Haji Mohamad ada menghasilkan buku Putera Gunung Tahan dan Anak Mat Lela Gila, tetapi Beta sendiri sehingga sekarang tidak berpeluang mendapatkan naskhah buku itu.

"Bahan bacaan seperti itu amat penting bukan saja diterbitkan semula, tetapi dijadikan bahan ilmiah wajib di pusat pengajian supaya generasi muda tidak lupa sejarah," titah baginda.

No comments: