>BARISAN Selangor bergembira selepas berjaya menjuarai Piala Selangor dengan menewaskan Persib Bandung 2-0 di Stadium Shah Alam hasil jaringan pemain undangan dari Indonesia, Bambang Pamungkas. - UTUSAN/Saharuddin Abdullah
SHAH ALAM - Pesta kejayaan Selangor selepas memenangi tiga piala Liga Malaysia berterusan dengan satu lagi kejuaraan, Piala Selangor 2009 setelah mengalahkan kelab Indonesia, Persib Bandung 2-0 di Stadium Shah Alam malam tadi.
Sekalipun tiada kaitan dengan Liga Malaysia, Gergasi Merah tetap megah menjulang kejuaraan edisi sulung itu di depan 50,000 penonton sekali gus membawa pulang ganjaran RM30,000 selaku juara.
Namun, agak menghampakan pesta itu diukir oleh dua jaringan pemain Indonesia, Bambang Pamungkas yang diundang mewakili semula Merah Kuning yang ditinggalkannya pada penghujung musim 2006.
Sebaik wisel dimulakan, Selangor hampir membuka tirai jaringan seawal minit pertama tetapi percubaan Bambang berjaya dihalang pertahanan Persib Bandung, Nova Arianto.
Persib melakukan percubaan pertama pada minit kelima. Namun, sepakan penyerang import dari Uruguay, Christian Alfaro Gonzales terus ke dakapan penjaga gol Selangor, Hamsani Ahmad.
Pada minit ke-28, Hamsani bertindak cemerlang apabila berjaya menepis keluar bola sepakan lambung berbahaya Maman Abdulrahman dari luar kotak penalti.
Selangor turut memperolehi peluang pada minit ke-41 tetapi percubaan R. Surendren hasil lorongan Elie sedikit sipi dari gawang Persib yang dikawal ketua pasukannya, Cecep Supriyatna.
Pada minit ke-44, berlaku keadaan kelam kabut di dalam kotak penalti Selangor dan percubaan terakhir oleh Siswanto sekadar tinggi melepasi gawang tatkala Hamsani sudah pun terkeluar dari posisinya.
Ketika masa kecederaan separuh masa pertama, rembatan cantik Safee Sali dari luar kotak penalti pula hanya sedikit melepasi palang gol Persib untuk kedua-dua pasukan masuk ke bilik persalinan tanpa sebarang gol.
Tiada pertukaran dilakukan kedua-dua jurulatih, K. Devan bagi Selangor dan Robbie Darwis bagi Persib apabila mereka memulakan saingan babak kedua.
Gol pertama Selangor akhirnya terhasil pada minit ke-56 menerusi jaringan Bambang selepas pemain Persija Jakarta itu pantas menolak masuk bola lorongan Safee dari sebelah kiri untuk menewaskan Cecep di gawang Persib.
Hanya empat minit selepas itu, Selangor memperolehi gol kedua juga menerusi jaringan Bambang yang menyempurnakan bola lorongan Elie hasil satu serangan balas pantas selepas sepakan sudut Persib.
Pada minit ke-66, Selangor hampir menambah gol ketiga tetapi sepakan cantik Elie yang kini beraksi untuk PSMS Medan berjaya pula ditepis keluar oleh Cecep.
Piala disampaikan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.
Ralat dalam Saman Dewan Bandaraya Kuala Lumpur
8 years ago
No comments:
Post a Comment